13 Oktober, Kota Tinggi - Seramai 500 pelajar dari seluruh negara menyertai Program Pelancongan Pelajar (3P) 2008 di Inap Desa Felda Semenchu selama enam hari, bermula semalam.
Setiausaha Bahagian Perkhidmatan Pelancongan Kementerian Pelancongan, Sulaiman Harmain Shah berkata, menerusi program itu para pelajar berkenaan akan menginap bersama 100 keluarga di Felda Semenchu di sini.
Menurutnya, semasa menjalani program itu mereka akan menyertai pelbagai aktiviti termasuk seminar kerjaya, lawatan produk, ceramah, pertandingan buku skrap, kuiz 3P, kursus, latihan berkaitan pelancongan dan keusahawanan.
“Antara matlamat program ini adalah meningkatkan tahap kesedaran para pelajar tentang industri pelancongan, memupuk semangat cintakan tanah air, menghindari masalah sosial dan mewujudkan perpaduan serta mengeratkan integrasi kaum.
“Ini kerana menerusi program ini kita telah memilih pelajar pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India dengan harapan mereka memahami tentang adat, budaya serta kepercayaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri pelancaran program berkenaan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said di sini hari ini.
Sulaiman berkata, kejayaan penganjuran dan penyertaan para pelajar itu juga mencerminkan penekanan diberikan penganjur dan pelajar untuk mewujudkan masyarakat bermaklumat khususnya dalam industri pelancongan.
Katanya, maklumat itu amat berguna dalam menyemai semangat cintakan negara dan seterusnya menyemarakkan lagi industri pelancongan negara.
(Video penuh anak-anak angkat menangis-nangis ngan mak-mak angkat dah siap... tengok la kat bawah...)